Tuesday, June 30, 2009

RENUNGAN BULAN REJAB

Bulan Rejab: Adakah Fadilatnya Melebihi Bulan-Bulan Lain?
Oleh
Khairol Amin (kamin@tm.net.my)

1. Bulan Rejab merupakan satu bulan daripada bulan-bulan Haram
2. Apakah terdapat fadilat khas berpuasa bulan Rejab?

3. Bagaimana cara sebenar untuk beramal di dalam bulan Rejab?

Bulan Rejab merupakan salah satu bulan daripada 12 bulan-bulan Islam. Bulan Rejab mengandungi peristiwa-peristiwa bersejarah kepada orang Islam di mana berlakunya peperangan Tabuk dan pembebasan Al-Aqsa dari tangan tentera Salib. Ada juga orang Islam yang berpendapat bahawa bulan inilah berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj Nabi Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam. Tidak kurang juga ramai yang melihat bulan Rejab sebagai satu bulan spiritual di mana mereka mempertingkatkan ibadat-ibadat sunat khususnya ibadat puasa.
Tarikan dan seruan yang ditiup ke dalam jiwa umat Islam Nusantara terutamanya untuk melakukan ibadat kebanyakannya dipengaruhi oleh penyebaran beberapa hadis yang mengandungi fadilat-fadilat beribadat dalam bulan ini. Jelas terlihat dari segi jualan buku-buku kecil yang mengandungi fadilat-fadilat bulan Islam, ia begitu laris dipasaran menjelang bulan Rejab. Begitu juga pada zaman era Internet kini (ICT), e-mail dan mailing list yang dihantar mengandungi 'cut & paste' risalah-risalah dan hadis-hadis berkenaan fadilat Rejab. Rata-rata tarikan fadilat ini menjadi faktor penarik kepada orang awam untuk melakukan ibadat sunat. Injeksi faktor ini dapat kita lihat penerapannya ke dalam budaya Melayu-Islam sepertimana rangkap sya'ir di bawah:

Rejab bulan menabur benih Sya'ban bulan menyiram tanaman Ramadhan bulan menuai Rejab menyucikan badannya Sya'ban menyucikan hati Ramadhan menyucikan rohnya Rejab bulan marghfirah Sya'ban bulan syafaat Ramadhan bulan menggandakan kebajikan Rejab bulan taubat Sya'ban bulan muhibbah Ramadhan dilimpahi pahala amalan seperti hujan mencurah banyaknya Rejab digandakan 70 pahala Sya'ban diganda 700 pahala Ramadhan diganda 1000 pahala
Mungkin timbul beberapa persoalan yang tersimpan di dalam lubuk hati kita: mengapa bulan Rejab sahaja yang dipilih mempunyai kelebihannya? Pernah atau tidak kita terfikir bahawa mungkin berita-berita ini ditokok tambah (exaggerate) oleh manusia biasa yang bercakap atas nama Nabi shallallahu 'alaihi wasallam? Mengapa di dalam bulan ini terdapat solat-solat khas, puasa-puasa khas, zikir-zikir khas dan juga waktu-waktu khas untuk melakukan ibadat? Di sini kita ingin membawa beberapa penjelasan daripada ulama'-ulama' muktabar dan kontemporari mengenai kesahihan fadilat yang terdapat di dalam bulan Rejab, dan apakah sebenarnya fadilat yang terkandung di dalam Rejab.
Bulan Rejab merupakan satu bulan daripada bulan-bulan Haram
Bulan Rejab merupakan salah satu dari bulan-bulan 'Haram' di dalam Islam. Dalilnya terdapat dalam firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah agama yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan yang dihormati itu (dengan melanggar larangan-Nya) dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa. [al-Taubah 9:36]
Menurut Tafsir al-Jalalain, yang dimaksudkan dengan "diantaranya empat bulan yang di hormati" ialah: “Empat bulan Haram ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab.”
Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah mengurniakan kepada manusia 4 bulan haram. Bulan-bulan ini sebagaimana yang disepakati oleh semua ulama' ialah Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab. Umat Islam diharamkan berperang dalam bulan-bulan ini kecuali jika mereka diugut. Di dalam bulan ini terdapatnya ibadat Haji (bulan Zulhijjah), di mana pada hari Arafah disunatkan bagi mereka yang tidak menunaikan haji melakukan ibadat puasa. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam juga menggalakkan umat Islam melakukan puasa sunat pada hari Asyura' (10 haribulan Muharam).

TOP

Apakah terdapat fadilat khas berpuasa bulan Rejab?
Untuk menjawab persoalan ini, berikut dinukil keterangan beberapa ulama muktabar masa kini:
Pertama: Shaikh Atiyah al-Saqr.
a) Kebanyakan fadilat Rejab terkandung di dalam hadis-hadis yang sangat lemah dan palsu. Bekas Ketua Lujnah Fatwa Al-Azhar mengatakan bahawa setiap fadilat bagi sesuatu perkara itu harus dilihat dari segi nas yang sahih padahal hadis-hadis yang didatangkan mengenai fadilat bulan Rejab kebanyakannya adalah lemah dan palsu. Beliau berkata:

Allah Subhanahu Wa Ta'ala mengutamakan beberapa bulan di atas sebahagian yang lain dan mengutamakan sebahagian tempat di atas sebahagian yang lain. Akan tetapi tidak boleh mensabitkan keutamaan sesuatu bulan atau tempat melainkan dengan dalil yang nyata. Hal ini perlu dipastikan supaya tidak berlaku pendustaan ke atas Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Kebanyakan hadis hadis yang datang berkenaan fadilat Rejab tidak terlepas daripada dua kemungkinan – sama ada dha‘if (lemah) atau maudhu’ (palsu). Tidak ada hadis-hadis yang secara jelas dinukil daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani telah menulis sebuah risalah dalam bab ini berjudul Tabyin al-Ujab bi ma warada fi Fadli al-Rejab (menjelaskan keajaiban tentang apa yang disebut-sebut tentang keutamaan bulan Rejab) dengan berkata: “Kebanyakan hadis-hadis yang dihimpunkan berkenaan bulan Rejab (seperti) puasanya dan solatnya, ia terbahagi kepada dua kategori, iaitu dha‘if dan maudhu’.
b) Fadilat Rejab berada bersama dengan fadilat bulan-bulan haram yang lain. Fadilat Rejab secara umumnya berada di dalam fadilat bulan-bulan Haram sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Taubah, ayat 36. Selain itu hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim menerangkan bahawa bulan-bulan tersebut ialah: Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram, dan yang tunggal, Rejab. Pada bulan-bulan ini orang Islam ditegah melakukan kezaliman, peperangan dan juga dilarang melakukan maksiat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
c) Berpuasa hari pertama atau yang lain di dalam bulan-bulan Haram di atas memiliki fadilat yang sama darjatnya. Shaikh al-Saqr mengulas:
Amalan salih di dalam bulan Rejab adalah sama ganjarannya di dalam bulan-bulan Haram, di antara amalan yang dimaksudkan ialah puasa. Sama sahaja (ganjarannya berpuasa) pada hari pertama atau pun hari akhir (daripada bulan-bulan tersebut). Berkata Ibnu Hajar : “Sesungguhnya bagi bulan Rejab tidak terdapatnya hadis mengenai fadilat khas berpuasa, tidak yang sahih dan tidak yang hasan.”
Seterus Shaikh al-Saqr memetik beberapa hadis dha‘if dan maudhu’ berkenaan fadilat bulan Rejab, antaranya:
Sesungguhnya di dalam syurga ada sebuah sungai yang dipanggil Rejab, warna airnya sangat putih dari susu, manisnya lebih manis dari madu, barangsiapa yang berpuasa satu hari dari bulan Rejab, maka Allah akan memberi ia minum dari sungai itu. Hadis ini dha'if.

Barangsiapa berpuasa sehari di dalam bulan Rejab seolah-olah dia berpuasa satu bulan, dan siapa yang berpuasa di dalamnya 7 hari maka akan ditutup 7 pintu-pintu neraka, dan barangsiapa yang berpuasa 8 hari maka 8 pintu-pintu syurga akan terbuka, dan barangsiapa yang berpuasa 10 hari, maka akan digantikan dosa dengan kebaikan" Hadis ini dha‘if.
Terdapat sebuah hadis yang panjang berkenaan fadilat puasa rejab menurut hari, dan di dalamnya terkandung:
Rejab bulan Allah. Sya'ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku. Hadis ini maudhu’.

d) Tidak ada solat khas di dalam bulan Rejab. Terdapat sebuah hadis yang berbunyi:
Barangsiapa yang solat Maghrib di awal malam dari bulan Rejab, kemudian diikuti oleh solat 20 rakaat selepasnya, dia membaca pada setiap rakaat surah Al-Fatihah dan Qulhu Allahu Ahad sekali dan dia memberi salam kepadanya 10 kali salam, Allah akan menjaga dirinya, keluarganya, hartanya dan anaknya, dan akan diselamatkan dari azab kubur, dan perjalanan di sirat bagaikan boraq, tanpa hisab dan azab. Ini adalah hadis maudhu'.

e) Menziarah kubur pada bulan Rejab tiada nasnya. Shaikh al-Saqr menasihatkan:
Amalan menziarahi kubur pada Jumaat pertama bulan Rejab sepertimana yang dilakukan oleh beberapa orang yang prihatin, termasuk oleh wanita tertentu, tidak memiliki asal usul di dalam agama. Tidak ada ganjaran yang besar menziarahi kubur pada hari tersebut. Adalah lebih utama di dalam bulan Rejab ini kita mengingati kembali sejarah yang berlaku di dalamnya seperti penaklukan Tabuk, mengingati Salahuddin al-Ayubi yang menyelamatkan Jerusalem (Al-Qudus) dari tangan (kekuasaan) tentera Salib (Rejab 583H, 1187M) dan tindakan orang Arab dan Islam menyucikan Masjid Al-Aqsa dari Ketua Pasukan Pakatan. Kita juga mengingatkan kembali peristiwa Isra' dan Mi'raj iaitu pengajaran daripadanya, di mana orang Islam menganggapnya berlaku di dalam bulan Rejab. Allah yang Maha Mengetahui.
Kedua: Shaikh Yusuf al-Qaradhawi
a) Fadilat Rejab adalah sama dengan fadilat bulan-bulan haram yang lain. Beliau berkata:
Tidaklah ada kesahihan (fadilat-fadilat) di dalam bulan Rejab, melainkan ia merupakan salah satu daripada bulan-bulan haram yang disebut oleh Allah di dalam kitabnya (surah al-Taubah, ayat 36), iaitu Rejab, Zulqaedah, Zulhijah dan Muharram....Inilah bulan-bulan yang mempunyai fadilat. Tidak terdapat hadis sahih bahawa yang mengkhususkan Rejab sebagai bulan yang yang memiliki keutamaan.
b) Hadis-Hadis mengenai fadilat Rejab kebanyakannya adalah dha‘if dan maudhu’. Shaikh al-Qaradhawi menyambung:
Hadis ini dimaklumi sebagai sebuah hadis fadilat Rejab: “Rejab bulan Allah. Sya'ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku", namun hadis ini mungkar dan sangat dha‘if, bahkan sebahagian besar ulama' mengatakan hadis ini maudhu’, yakni dusta. Maka tidak ada baginya nilai saintifik mahupun agama. Selain itu terdapat juga hadis-hadis fadilat Rejab yang menerangkan sesiapa bersolat sekian-sekian maka dia mendapat ganjaran sekian-sekian, sesiapa beristighfar sekali maka baginya sekian-sekian ganjaran…..semua ini adalah satu pelampauan dan pendustaan. Malah termasuk isyarat bahawa sesuatu hadis adalah dusta adalah bahawa ianya bersifat melampau dan berlebih-lebihan. Berkata para ilmuan, janji mendapatkan ganjaran yang besar terhadap amalan yang biasa atau azab yang berat untuk kesalahan yang ringan termasuk isyarat bahawa hadis tersebut adalah dusta.
c) Oleh itu, lanjut Shaikh al-Qaradhawi, kita sebagai orang Islam wajib mengetahui darjat hadis yang didengar atau dibaca. Tidak boleh bersikap remeh dalam hal ini kerana sudah sedia terdapat buku-buku di pasaran yang menerangkan sumber dan darjat hadis, berbanding buku-buku yang hanya mengemukakan hadis tanpa menerangkan sumber dan darjatnya.

Ketiga: Shaikh al-Sayid Saabiq
Shaikh al-Sayid Sabiq dalam karyanya yang masyhur, Fiqh al-Sunnah menyebut:
Puasa Rejab, bukanlah ada padanya fadilat yang melebihi bulan-bulan lain melainkan sesungguhnya ia daripada bulan-bulan Haram.
Ini bermaksud bahawa bulan-bulan haram semuanya memiliki fadilat yang sama darjatnya.

TOP

Bagaimana cara sebenar untuk beramal di dalam bulan Rejab?
Apabila ditanya, selain bulan Ramadhan, bulan apakah yang afdal untuk berpuasa, Shaikh Mutawalli al-Sya’rawi menjawab dengan mengemukakan sebuah hadis daripada ‘Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh, bahawa seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
Wahai Rasulullah! Apakah bulan yang engkau perintahkanku berpuasa selepas Ramadhan?” Rasulullah menjawab: “Jika kamu ingin berpuasa selepas Ramadhan, maka berpuasalah pada bulan Haram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah dan padanya terdapat satu hari yang terima taubat daripada satu kaum dan diampunkan padanya kaum (yang lain).”
Berdasarkan hadis ini, dianjurkan berpuasa sunat pada bulan-bulan Haram tanpa dikhususkan kepada bulan Rejab sahaja.
Shaikh Abdul Aziz bin Baz, mufti besar Arab Saudi pernah juga dikemukakan soalan yang seumpama. Beliau menjawab:

Dari sudut syara’, dibolehkan berpuasa (sunat) pada bulan Muharam dan demikian juga bulan Sya’ban. Adapun berpuasa pada 10 hb Zulhijjah, tidak ada dalil ke atasnya, akan tetapi jika seseorang ingin berpuasa tanpa beriktikad bahawa ia adalah puasa yang khusus, ia tidak mengapa. Adapun bulan Allah al-Haram, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam pernah bersabda: “Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah al-Haram.” Maka apabila berpuasa pada bulan-bulan tersebut maka ia adalah baik, atau berpuasa pada 9, 10, 11 hb itu adalah baik juga, demikian juga dibolehkan berpuasa pada bulan Sya’ban.
Shaikh Yusuf al-Qaradhawi menulis:

Berpuasa di dalam bulan Haram adalah maqbul (diterima) dan mustahab (sunat hukumnya). Akan tetapi tidaklah diriwayatkan daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bahawa baginda berpuasa pada keseluruhan bulan-bulan Haram tersebut. Baginda hanya berpuasa penuh satu bulan (yakni) dalam bulan Ramadhan. Selain itu baginda banyak berpuasa pada bulan Sya’ban tetapi tidak berpuasa sepenuhnya dalam bulan tersebut. Inilah sunnah Nabawiyah.

Pada bulan-bulan yang lain (selain Ramadhan dan Sya’ban), baginda berpuasa dan berbuka sehingga dikatakan oleh para sahabat dalam sebuah riwayat: “Baginda berpuasa sehingga kami mengatakan beliau tidak berbuka, baginda berbuka sehingga kami mengatakan beliau tidak berpuasa.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud). Maka apa yang dilakukan oleh sebahagian manusia dengan berpuasa pada bulan Rejab seluruhnya sebagaimana yang kita lihat sebelum ini, malah aku telah lihat sebahagian manusia berpuasa pada bulan Rejab, Sya'ban, Ramadhan dan 6 hari di dalam bulan Syawal dan menamakannya "Al-Ayam Al-Baidh" selepas berbuka, (lalu) mereka membuat satu perayaan pada hari ke 8 bulan Syawal. Hasil dari puasa ini ialah 3 bulan dan 6 hari saling secara berterusan. Mereka hanya akan berbuka apabila tiba Hari Id (1 Syawal). Amalan seperti ini tidak datang daripada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam mahupun para sahabat dan generasi al-Salaf al-Salih (generasi awal umat Islam).
Maka sebaik-baik puasa (sunat) ialah puasa sehari dan berbuka sehari, bukan berterusan di dalam berpuasa. Setiap kebaikan ialah pada mengikuti generasi awal dan setiap keburukan ialah pada rekaan generasi terkemudian. Barangsiapa yang ingin mengikut dan memperoleh ganjaran yang sempurna, maka ikutlah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam dengan tidak berpuasa pada bulan Rejab dan Syaban seluruhnya. Inilah sebaik-baik (bentuk puasa sunat). Wa Billahi Tawfiq.


Kesimpulan

1. Hadis-Hadis keutamaan (fadilat) bulan Rejab kebanyakannya adalah dha‘if (lemah) dan maudhu’ (palsu). Berterusan menyampaikan hadis-hadis ini adalah satu bentuk pendustaan terhadap Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

2. Kita dilarang mengkhususkan hari atau malam tertentu melainkan jika pengkhususan tersebut berasal daripada Allah (al-Qur’an) dan Rasul-Nya (hadis-hadis yang sahih).

3. Tidak ditemui dalil bahawa bulan Rejab memiliki fadilat yang khusus, yang ada cuma fadilat umum keempat-empat bulan haram.

4. Demikian juga, tidak ditemui dalil bagi melakukan solat, puasa, zikir, ziarah kubur dan sebagainya yang khusus bersempena bulan Rejab.



Risalah 2: Hadis Dha‘if: Hukum dan Syarat Pengamalannya


Budiman Radzi - Fazilat bulan Rejab, Sya'ban dan Ramadzan. Alor Setar: Muzakkir Enterprise, 1990.
Tafsir al-Jalalain. Harf.com. (URL: http://quran.al-islam.com/arb/Default.asp)
Fatwa IslamOnline - Fadilat Rejab. (URL: http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=10249)
Fatwa IslamOnline - Kesahihan Fadilat Rejab. (URL : http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=1308)
Fiqh al-Sunnah (Beirut: Al-Fath Lil'alam Al-Arabi, 1995. Cetakan khas dari manar Al-Dauliyah), jld. 1, ms. 596.
Al-Fatawa (Kaherah: Dar Al-Fath Lil-A'lam Al-Arabi, 2000), ms. 371
Sanad hadis ini dha‘if, rujuk Musnad Ahmad yang disemak oleh Shaikh Syu‘aib al-Arna’uth dan rakan-rakan, hadis no: 1322 (Musnad ‘Ali bin Abi Thalib). Walaubagaimana ia memiliki penguat daripada apa yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Sahihnya, hadis no: 1163 (Kitab Puasa, Bab Keutamaan Puasa pada bulan Haram) daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh, maksudnya: “Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah al-Haram.” (Hafiz Firdaus)
Majmu' Fatawa (Riyadh: Dar Al-Watan, 1996) ms. 269
Fatwa IslamOnline - Puasa Rejab(URL: http://www.islamonline.net/fatwa/arabic/FatwaDisplay.asp?hFatwaID=1310)
Untuk memudahkan kefahaman para pembaca, orang-orang yang berpuasa pada bulan Rejab boleh dikategorikan kepada beberapa kumpulan:
Mereka yang memperbanyakkan puasa sunat pada bulan-bulan Haram, iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab tanpa melakukannya secara berterusan. Ini adalah sunnah.
Mereka yang berpuasa sunat Isnin, Khamis dan sebagainya dalam bulan Rejab. Mereka berpuasa sunat bukan kerana fadilat Rejab tetapi kerana hadis-hadis yang menganjurkan puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis. Ini adalah sunnah.
Mereka yang berpuasa sunat dalam keseluruhan bulan Rejab kerana fadilat Rejab. Ini bukanlah sunnah.
Mereka yang berpuasa secara berterusan daripada bulan Rejab, Syaban, Ramadhan dan enam hari bulan Syawal. Mereka tidak berhenti kecuali pada 1 Syawal. Ini bukanlah sunnah.
5. Mereka yang melarang apa-apa bentuk puasa sunat dalam bulan Rejab. Ini tidak benar. Boleh berpuasa sunat dalam bulan Rejab sebagaimana yang disebut dalam kategori pertama dan kedua di atas. Yang dilarang ialah puasa sunat kerana fadilat Rejab.
Mereka yang mengqadha puasa Ramadhan yang lepas dalam bulan Rejab. Ini dibolehkan selagi mana dia tidak beriktikad adalah lebih utama untuk mengqadha dalam bulan Rejab kerana fadilat-fadilatnya. (Hafiz Firdaus).
Kenapakah ia satu bentuk pendustaan? Rujuk risalah berikutnya berjudul Hadis Dha‘if: Hukum dan Syarat Pengamalannya.
Kenyataannya, semua hadis berkenaan fadilat Rejab tidak ada yang bertaraf hasan, jauh sekali daripada bertaraf sahih. Penggunaan istilah “kebanyakan” oleh pengarang hanya atas sikap rendah dirinya. Walaubagaimanapun, kami sentiasa terbuka seandainya sesiapa yang dapat menunjukkan kepada kami mana-mana hadis fadilat Rejab yang memiliki taraf sahih atau hasan. Jika ternyata ia memiliki darjat sahih atau hasan, kami akan menerimanya, membetulkan kata-kata kami di atas dan sekali gus beramal dengannya. (Hafiz Firdaus)